Translate

Monday, December 31, 2018

MyOnlinePasport kurang sambutan

Oleh AZLI ADLAN

BESUT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggalakkan rakyat negara ini memanfaatkan kemudahan permohonan memperbaharui pasport antarabangsa dalam talian menerusi portal, MyOnlinePasport.

Ketua Pengarah Imigre­sen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kemudahan itu telah dimanfaatkan lebih 10,000 pemohon sejak ia dilancarkan pada September tahun lalu.

Beliau berkata, permohonan pembaharuan pasport akan menjadi lebih mudah jika dibuat menerusi MyOnlinePasport dengan semua urusan termasuk memuat naik gambar dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian.

“Kutipan pasport terbabit boleh dilakukan di cawangan terdekat dalam tempoh singkat iaitu antara 10 minit dan 15 minit sahaja selepas selesai proses pengesahan.

“Ia juga menjimatkan tempoh menunggu dan inisiatif (JIM) bagi mengurangkan ke­sesakan di pejabat cawangan Imigresen,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport Besut di Bangunan Persekutuan, Kampung Raja di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad dan Pengarah Imigresen Terengganu, Rahim Hanaffi.

Mustafar berkata, secara purata, JIM menerima hampir 2.5 juta permohonan pasport antarabangsa setahun atau kira-kira 20,000 sebulan di 96 cawangan di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pejabat Pengeluar Pasport Besut merupakan cawangan ke-76 di seluruh negara dan ketiga di Terengganu selepas Kuala Terengganu dan Kemaman yang mempunyai kemudahan mengeluarkan dokumen antarabangsa dalam tempoh sejam selepas permohonan.

“Sebelum ini, Pejabat Imigresen Besut cuma menerima permohonan yang akan diproses dalam tempoh tiga hari.

“Kewujudan Pejabat Pengeluar Pasport Besut ini akan memudahkan urusan imigresen bukan sahaja kepada penduduk daerah ini malah di kawasan sekitar termasuk daerah-daerah di Kelantan yang bersempadan dengannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment