Translate

Saturday, December 29, 2018

Empat pemborong telur diberi notis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Empat syarikat pemborong telur ayam di negeri ini dikenakan notis tunjuk sebab oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu kerana menaikkan harga barangan itu baru-baru ini.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 itu masing-masing dikeluarkan  di Kuala Terengganu dan Besut.

Beliau berkata, kesemua syarikat pemborong terbabit diarahkan untuk menjawab notis berkenaan dalam tempoh tiga hari.

“Kita telah melakukan pemeriksaan telur ayam di 93 premis perniagaan termasuk 16 syarikat pemborong utama selepas menerima aduan kenaikan harga barangan itu di negeri ini baru-baru ini.

“Pemeriksaan juga mendapati berlaku kenaikan sedikit pada harga runcit dan borong sejak bulan lalu,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Pasar Kuala Berang di sini semalam.

Zulfamy memberitahu, kenaikan harga telur ayam itu didakwa disebabkan peningkatan harga daripada pembekal dan wabak selesema burung atau H5N1 yang telah menyebabkan pengeluaran berkurangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati harga sayur dan ikan di negeri ini turut meningkat antara lima hingga 10 peratus pada musim tengkujuh ini.

No comments:

Post a Comment