Translate

Monday, December 17, 2018

Terengganu pulih, Pahang teruk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan SHAHRULANOOR ISHAK

KUALA TERENGGANU – Cuaca cerah yang berlaku sepanjang hari semalam telah memulihkan keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Terengganu.

Sehingga petang semalam, hanya daerah Kemaman yang masih terjejas manakala daerah Hulu Terengganu dan Setiu telah pulih sepenuhnya daripada banjir dengan kesemua lebih 1,000 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 4 petang semalam, mangsa banjir di negeri ini hanya tinggal 171 orang sahaja.

“Kesemua mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS terdiri daripada 39 keluarga dari enam perkampungan di sekitar daerah Kemaman.

“Kawasan-kawasan di daerah itu yang masih dinaiki air banjir ialah Padang Kemunting, Felda Neram 1, Teladas, Ibok, Kampung Batu 4 dan Kampung Batu 14,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Begitu pun, Che Adam memberitahu, lima laluan masih ditutup untuk kegunaan semua jenis kenderaan kerana masih digenangi air bah antara 0.76 meter (m) hingga 1.4m.

Menurut beliau, laluan tersebut ialah Jalan Batu 24-Pengkalan Ajal dan Jalan Matang, Nibong-Kuala Telemong di Hulu Terengganu; Jalan Kampung Bukit-Alur Lik di Setiu dan Jalan Chukai-Air Putih dan Jalan Pelandoh di Kemaman.

Sementara itu, di Pahang, bilangan mangsa banjir di Kuantan bertambah daripada 192 orang kelmarin kepada 421 orang daripada 112 keluarga lewat petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusof berkata, tujuh PPS telah dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa yang terlibat.

“Keadaan hujan ribut petir yang diramal berlaku hari ini dikhuatiri meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan bertanah rendah,” katanya.

Tambahnya, sungai-sungai utama di daerah itu turut melepasi paras bahaya sejak pagi tadi termasuk Sungai Lepar, Sungai Lembing, Sungai Kuantan, Sungai Belat dan Sungai Cherating.

No comments:

Post a Comment