Translate

Friday, December 28, 2018

Empat pekerja TNB terkandas 15 jam dalam hutan simpan

HULU TERENGGANU – Seramai empat orang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) cemas selepas terkandas lebih 15 jam di dalam Hutan Simpan Mizan berhampiran Felda Mengkawang, Kuala Berang dekat sini semalam.

Kesemua mangsa iaitu Nor Muslim Mohd. Dom, 51; Mohd. Amirul Ismail, 30;  Muhammad Syazwan Wahab, 30; dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29, ditemui selamat dalam keadaan keletihan pada pukul 10.25 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mereka yang terdiri kakitangan Unit Perancang Kabel Wilayah Timur, Pejabat TNB Dungun memasuki kawasan hutan simpan berkenaan bagi menjalankan kerja-kerja pemeriksaan puncak menara TNB pada pukul 9.30 pagi kelmarin.

“Kerja-kerja pemeriksaan itu sepatutnya berakhir pada pukul 5 petang semalam (kelmarin), namun mereka yang masing-masing melakukan kerja-kerja pemeriksaan di lokasi berasingan didapati tidak keluar dari hutan ber­kenaan sehingga pukul 10.41 malam.

“Salah seorang mangsa menghubu­ngi pegawai TNB bertugas memaklumkan terpaksa bermalam di dalam hutan simpan itu kerana gagal mencari jalan pulang akibat keadaan gelap sebelum kehilangan keempat-empat pekerja TNB itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, mangsa pertama, Nor Muslim dilaporkan berjaya keluar sendiri dari Hutan Simpan Mizan sebelum meminta pertolongan daripada beberapa penduduk kampung yang sedang bersarapan di sebuah gerai makanan di Kampung Lubuk Periuk dekat sini pada pukul 9.40 pagi.

Menurut beliau, baki tiga lagi mang­sa pula berjaya ditemui pasukan mencari dan penyelamat pada pukul 10.25 pagi.

“Mereka ditemui dalam keadaan keletihan pada kedudukan kira-kira enam kilometer dari lokasi kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan sebelum mereka menjalankan tugas.

“Keempat-empat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, kesemua pekerja TNB itu enggan ditemu bual kerana keletihan melampau semalaman berada di dalam hutan.

No comments:

Post a Comment