MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Isnin lalu telah pulih sepenuhnya hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Marang yang masih beroperasi hari ini menutup operasinya pada pukul 5 petang tadi.
"Seramai 28 mangsa banjir yang menetap di PPS itu telah dibenar pulang ke rumah masing-masing setelah banjir yang melanda Kampung Pasir Putih, Marang sejak lima hari lalu surut sepenuhnya.
"Kawasan tersebut paling lambat pulih kerana fenomena banjir 'bertahan'," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Isnin lalu, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang ketiga melibatkan hampir 1,000 mangsa dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang.
Banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan berkapasiti lebih 100 milimeter yang turun sejak pukul 3 pagi di kesemua daerah berkenaan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment