Translate

Friday, December 21, 2018

Panggilan kecemasan diterima JBPM meningkat

KUALA TERENGGANU – Panggilan kecemasan yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak awal tahun ini menunjukkan peningkatan lebih 12 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amir Yusof berkata, sehingga November, JBPM menerima 98,013 panggilan kecemasan di seluruh negara merangkumi 34,930 berkaitan kes kebakaran dan 54,279 bagi kes operasi penyelamatan.

“Ia merupakan peningkatan berbanding tahun 2016 dan 2017 yang masing-masing sebanyak 92,307 dan 86,982 panggilan sepanjang tahun berkenaan.

“Panggilan kecemasan yang diterima JBPM terbahagi kepada dua iaitu panggilan kes kebakaran dan operasi penyelamatan seperti kemalangan, tanah runtuh, banjir dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran bantuan kewangan kepada PBS di Ibu Pejabat JBPM Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Sementara itu, Amir memberitahu, bilangan panggilan palsu diterima JBPM pula sudah semakin berkurangan kepada hanya 295 sejak awal tahun ini berbanding 455 dan 430 yang dicatatkan pada tahun 2016 dan 2017.

No comments:

Post a Comment