Translate

Thursday, May 10, 2018

TFC I resah hadapi Perak

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh dalam keadaan resah apabila ayam tambatan, Tchetche Kipre masih belum pasti dapat diturunkan untuk aksi Liga Super menentang Perak malam ini akibat kecederaan.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, ketiadaan Kipre yang juga kapten pasukan pada dua perlawanan sebelum ini menjejaskan sentuhan penyudah skuad kendaliannya.

“Kecederaan paha yang dialami Kipre masih belum sembuh sepenuhnya dan peluang dia untuk diturunkan pada aksi menentang Perak esok (malam ini) adalah 50-50.

“Apa pun kita akan bertandang ke Stadium Perak dengan misi sekurang-kurangnya me­ngutip satu mata agar kedudukan TFC I tidak terlalu jauh dengan pendahulu liga (Johor Darul Takzim),” katanya kepada Kosmo! Ahad di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, beliau menaruh kepercayaan kepada ketajaman Bruno Suzuki dan Mohamad Ashari Samsuddin mengemudi barisan serangan untuk menggempur kubu lawan pada aksi dengan Perak berkenaan.

Pengendali berpengalaman itu berkata, anak-anak buah­nya sudah pasti akan bermain bermati-matian bagi menebus kehampaan selepas gagal mencatat kemenangan pada dua aksi dengan Kedah dan Pahang sebelum ini.

“Kita perlu mengembalikan aksi sebenar bagi mengelak ‘diratah’ skuad The Bos Gaurus bimbingan Mehmet Durakovic,” katanya.

No comments:

Post a Comment