Translate

Tuesday, May 8, 2018

UTC bukti kejayaan kerajaan BN

KUALA TERENGGANU – Penubuhan sebanyak 21 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara adalah bukti kejayaan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) bagi memberi perkhidmatan secara terus kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejumlah 186,000 orang telah menggunakan perkhidmatan di UTC untuk tiga bulan pertama tahun ini sekali gus menjadikannya kayu ukur yang menepati slogan rakyat mesti didahulukan.

“Kalau dilihat daripada segi penilaian sudut penerimaan rakyat, perkhidmatan UTC mungkin berada di tangga paling atas berbanding inisiatif lain,” katanya ketika merasmikan UTC Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Najib berkata, ciri-ciri perkhidmatan UTC yang menempatkan 30 agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta swasta di dalam satu bumbung, beroperasi tujuh hari sehinggu dan waktu operasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam telah memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.

Tambah Najib lagi, keberkesanan perkhidmatan UTC juga telah mendapat pengiktirafan tinggi daripada pelbagai badan antarabangsa seperti Bank Dunia, Komanwel dan ASEAN.

Sementara itu, Najib berkata, pengundi perlu menggunakan kebijaksanaan mereka dalam membuat penilaian terbaik bagi membuat pilihan pada hari pe­ngundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Rabu depan.

Katanya, kriteria seperti parti mana yang mempunyai agenda terbaik untuk negara dan mampu membawa kehidupan lebih baik kepada rakyat sepatutnya menjadi kayu ukur kepada pe­ngundi dalam membuat perhitungan pada 9 Mei ini.

No comments:

Post a Comment