Translate

Wednesday, May 30, 2018

Harga barang tidak seragam di seluruh negara

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM, SHAHRULANOOR ISHAK, NOOR HASLIZA NUSI FAIZAL NAZARUDDIN, MOHD. AZLI ADLAN, ATIKAH DALI, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA, TAUFIK SALIMIN, KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN, NORLIDA AKMAR IDROS, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI, NOR AFIQAH MAT NOR, KAMARIAH KHALIDI, MOHD. IZUAN ROSELI, AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA, IRFAN HUSSAIN, ISMAIL IBRAHIM NORDIN dan MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA LUMPUR – Harga pelbagai barang keperluan dan bahan mentah di seluruh negara didapati masih tidak seragam walaupun pemansuhan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar peratus tinggal cuma empat hari sahaja lagi.

Malah lebih mengejutkan, tinjauan Kos­mo! di pasar dan kedai runcit utama di seluruh negara mendapati orang ramai merungut kerana harga beberapa barang seperti ayam dan pelbagai jenis ikan mencatatkan kenaikan harga difahamkan atas faktor bulan Ramadan.

Antara barangan basah yang menca­tatkan harga tidak seragam paling ketara ialah ikan kembung saiz besar apabila ia dijual pada kadar RM8 sekilogram di Kedah tetapi melonjak sehingga RM18 di Negeri Sembilan dan Terengganu.

Malah harga ikan tenggiri sekilogram melonjak sehingga RM50 di Pasar Besar Ipoh, Perak sedangkan di negeri lain hanya RM30 sekilogram.

Di Johor, seorang pekerja kilang, Marzuan Omar (gambar kecil), 33, berkata, dia berasa bimbang sekiranya ketidaktentuan harga berlarutan ia akan menyebabkan peningkatan harga barang mentah pada masa akan datang.

“Saya bimbang dengan kenaikan harga barang mentah khususnya menjelang perayaan. Kita mungkin tidak sedar harga telah naik sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui di Pasar Borong Smart, Pandan, Johor Bahru semalam.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Suzana Salleh, 28, ketika ditemui mengakui terdapat ketidaktentuan harga barang mentah sejak akhir-akhir ini.

“Saya berharap kerajaan menilai mekanisme yang sesuai untuk menyeragamkan harga barang ini. Kita tidak boleh salahkan peniaga, mungkin pihak berkuasa kena kaji faktor kenaikan harga dan kadar berbeza mengikut negeri,” katanya.

Dalam pada itu di Selangor, tinjauan di Pasar Seksyen 6 dan sebuah pasar raya di Seksyen 15 di Shah Alam mendapati harga ikan turut mencatatkan kenaikan, namun harga sayuran dijual sedikit rendah berbanding sebelum ini.

Menurut seorang peniaga ikan yang ingin dikenali sebagai Din, 53, harga ikan naik sedikit berikutan keadaan cuaca di beberapa negeri yang tidak menentu yang menyebabkan bekalan ikan tempatan terhad.

“Ikan kembung, contohnya, kami terpaksa jual antara RM17 hingga RM22 sekilogram mengikut gred dan saiz. Sebelum ini, harganya sekitar RM14 hingga 20. Begitu juga cencaru sebelum ini kita jual antara RM9 hingga RM11 sekilogram, tetapi sejak minggu lalu harga­nya antara RM11 hingga RM13,” ujarnya.

Sementara itu di Terengganu, ketidakseragaman harga barang juga berlaku mengikut daerah.

Tinjauan Kosmo! di Kuala Terengganu mendapati ikan kembung dijual pada harga RM12 sekilogram tetapi di Kemaman harga ikan itu dijual sehingga RM18 sekilogram.

Seorang peniaga ikan di Pasar Binjai, Kemaman, Zakaria Yahya, 66, berkata, dua jenis ikan yang ketara kenaikannya ialah ikan kembung yang kini berharga RM18 sekilogram berbanding RM15 dalam kuantiti sama sebelum bulan Ramadan. 

“Ikan aya (tongkol) pula meningkatkan daripada RM5 sekilogram sebelum ini kepada RM8,” katanya.

Di Pulau Pinang, tinjauan Kosmo! di Pasar Awam Bayan Baru dan beberapa pasar di kawasan pusat bandar George Town di sini semalam mendapati tiada kenaikan ketara kadar barangan, namun harganya sedikit berbeza mengikut lokasi premis.

Seorang peniaga ikan yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 49 berkata, bekalan ikan ketika ini sememangnya mencukupi dan tidak berlaku kenaikan harga yang ketara.

“Harga masih sama biarpun berbeza antara 10 sen hingga 30 sen antara peniaga-peniaga lain. Harga ikan akan naik sekiranya bekalan berkurangan,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, tinjauan harga santan kelapa juga mendapati harganya berbeza di seluruh negara apabila dijual antara RM8 hingga RM12 sekilogram.

Harga santan paling murah di Kelantan, Selangor, Sabah, Sarawak dan Putrajaya apabila dijual pada harga RM8 sekilogram tetapi melonjak sehingga RM12 sekilogram di Kedah dan Pahang.

No comments:

Post a Comment