Translate

Monday, May 7, 2018

Pembangkang kena kerja lebih kuat

DUNGUN – Presi­den Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohamad Sabu (gambar) me­ngakui pakatan pembangkang mengalami ke­sukaran dalam meraih sokongan daripada rakyat Terengganu memandangkan mereka hanya sinonim dengan Pas dan Barisan Nasional sebelum ini.

“Kami harus bekerja lebih kuat memandangkan ombak di Terengganu ini agak lambat berbanding di negeri lain kerana majoriti pengundi di sini adalah Melayu dan jumlah bukan Melayu terlalu sedikit.

“Orang Melayu di sini masih takut dengan Pakatan Harapan (PH) k­erana doktrin yang tertanam di dalam pemikiran mereka adalah kaum Cina (DAP) yang akan memerintah sekiranya PH menang  Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya pada sidang akhbar selepas program Jelajah Pakatan Harapan di Padang Astaka, Kuala Dungun di sini kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyifatkan kesudian tiga anak bekas pe­mimpin utama Pas menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14 sebagai kemenangan moral besar kepada parti tersebut.

Beliau yang juga calon PKR bagi Parlimen Kota Raja, Klang memberi­tahu, tiga calon tersebut ialah Datuk Dr. Mujahid Rawa yang bertanding di Parlimen Parit Buntar, Muhammad Faiz Fadzil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dan Nik Omar Nik Aziz (DUN Cempaka).

“Saya seronok anak-anak pe­mimpin Pas iaitu anak Mursyidul Am Pas pertama, Yusof Rawa, Datuk Mujahid dan Muhammad Faiz yang merupakan anak bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor mewakili kita.

“Nik Omar pula bertan­ding di DUN Cempaka yang merupakan kawasan diwakili bapanya, Nik Aziz sejak sekian lama,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment