Translate

Monday, May 21, 2018

Dua tekong cuba rasuah pengawai APMM antara 19 nelayan Vietnam berjaya diberkas

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tindakan melampau dua tekong bot nelayan Vietnam cuba merasuah pegawai Maritim Malaysia (APMM) gagal untuk mengaburi mata pasukan penguat kuasa tersebut daripada menahan mereka di perairan Kuala Terengganu dekat sini pada kelmarin.

Setiap tekong masing-masing berusia 51 dan 49 tahun tersebut disyaki cuba menyogok pegawai APMM terlibat sebanyak RM1,000 bagi melepaskan diri daripada tindakan undang-undang akibat menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, seramai 17 awak-awak kedua-dua bot nelayan Vietnam terbabit berusia dalam lingkungan antara 14 hingga 54 tahun turut berjaya ditahan dalam serbuan terbabit yang bermula pada 7.16 pagi.

Beliau berkata, sebanyak dua tan ikan pelbagai jenis, setengah tan ikan baja, 3,000 liter diesel, peralatan dan dua bot nelayan terlibat yang dianggarkan berjumlah keseluruhan RM1.5 juta berjaya dirampas.

"Kedua-dua bot nelayan Vietnam terbabit sedang melakukan penangkapan ikan secara pukat tunda gading yang diharamkan di negara ini sewaktu ditemui kapal maritim APMM yang sedang melakukan rondaan Ops. Darul Iman pada kedudukan kira-kira  73 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu dekat sini.

"Sebuah bot itu bertindak memotong pukat lalu memecut laju untuk cuba melarikan diri tetapi berjaya dipintas kapal maritim APMM pada kedudukan lebih kurang 77 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 8 pagi," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment