Translate

Thursday, May 17, 2018

Ahmad Razif serah tugas kepada MB baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perubahan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pas berlangsung dalam keadaan tertib semalam.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman hadir ke majlis penyerahan tugas kepada penggantinya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini.

Kedua-dua mereka dilihat berbual santai sebelum upacara menandatangani dokumen penyerahan tugas.

Ahmad Samsuri berkata, beliau amat menghargai kesudian Ahmad Razif yang berjiwa besar untuk menjayakan majlis serah tugas Menteri Besar Terengganu itu.

“Ini satu permulaan yang baik dan contoh hebat untuk kerajaan negeri lain. Kita boleh berpolitik dalam apa sahaja fahaman dan pegangan tetapi akhirnya perlu mencari jalan terbaik untuk rakyat Terengganu.

“Generasi baharu perlu menge­tahui politik hari ini untuk menyelesaikan masalah bukannya menimbulkan masalah baru dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas terbabit di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Ahmad Razif pula memberitahu, BN Terengganu menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan berlapang dada dan bersedia untuk membantu kerajaan negeri yang kini diterajui Pas.

Pada PRU-14, Pas berjaya me­nubuhkan kerajaan negeri Terengganu selepas menguasai 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN pula mendapat 10 kerusi DUN.

No comments:

Post a Comment