Translate

Wednesday, May 9, 2018

Insan cacat penglihatan tunai hak sebagai pengundi

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kekurangan diri akibat cacat penglihatan tidak menjadi halangan buat Mohd. Fauzi Mansor, 47, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di sini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hari ini.

Mohd. Fauzi yang menetap di Kampung Baru Seberang Takir di sini tiba di pusat pengundian tersebut dengan ditemani isterinya, Norasyimah Mohamad, 45, pada pukul 8.30 pagi.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) cawangan Terengganu berkata, beliau sudah tiga kali mengundi di PRU.

"Cacat penglihatan bukan halangan untuk golongan  kelainan upaya seperti saya untuk menunaikan tanggungjawab untuk sama-sama memilih pemimpin negara.

"Pada pengundian PRU-14 kali ini, saya dibantu isteri (Norasyimah) yang normal untuk menanda kertas undi  berdasarkan calon pilihan saya," kataya ketika ditemui di pekarangan SMK Kompleks Seberang Takir di sini hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, beliau merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri Seberang Takir dan Parlimen Kuala Nerus.

Ujarnya, beliau percaya kebanyakan 300 anggota Pertis cawangan Terengganu turut sama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini.

"Saya juga seru semua OKU termasuk cacat penglihatan seperti saya turun mengundi pada PRU-14 hari ini kerana kita juga punya hak untuk turut sama mencorakkan masa depan negara.

"Selepas ini, saya akan menemani isteri, Norasyimah untuk mengundi pula di Sekolah Kebangsaan Ladang untuk Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Ladang," katanya. - K! ONLINE 

No comments:

Post a Comment