Translate

Monday, May 7, 2018

Wan Nawawi sandaran terbaik BN

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) mempu­nyai kesempatan terbaik untuk kembali merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kali terakhir BN mempunyai wakil di kawasan Parlimen itu ialah pada PRU-11 dan PRU-12 sebelum penyandangnya, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain badminton pada 28 November 2008.

BN kali ini menampilkan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dalam misi untuk kembali memenangi hati pengundi di Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai seramai 103,611 orang.

Wan Nawawi yang baru bersara awal kurang dua minggu lalu bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding sebagai calon BN di kerusi Parlimen Kuala Terengganu merupakan individu yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penduduk.

Beliau bukan sahaja anak jati Kampung Kubang Ikan di sini malah rekod serta pengalamannya sepanjang 37 tahun berkhidmat dalam sektor awam disegani masyarakat setempat.

Wan Nawawi juga cemerlang dalam kepimpinan persatuan sukan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Negara atas sumbangannya dalam sukan bola padang pada Majlis Anugerah Sukan Negara baru-baru ini.

“Pemilihan saya sebagai calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu merupakan isyarat Tuhan agar saya terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sekiranya saya dipilih pengundi pada PRU-14 ini, saya berazam untuk menggunakan pengalaman dan kepakaran saya sewaktu berkhidmat dalam sektor awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Parlimen ini,” kata Wan Nawawi yang memiliki kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Oklahoma City, Amerika Syarikat di sini semalam.
Wan Nawawi mengakui terpaksa be­kerja keras sepanjang tempoh berkempen kerana laluannya tidak begitu mudah kerana penyandang kerusi itu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Pas telah memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU-13 dengan majoriti besar iaitu 10,785 undi.
Pada pilihan raya umum kali ini, Pas mempertaruhkan Pengarah Jabatan Penerangan Pas, Ahmad Azad Mohamed @ Hashim sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu,Pas mengandaikan sebahagian besar undi yang diberikan kepada Raja Kamarul Bahrin dapat dikembalikan kepada parti itu selepas Raja Kamarul Bahrin menyertai Parti Ama­nah Negara tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment