Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEGAGALAN meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri pada aksi Liga Super menentang Kedah kelmarin jelas mengecewakan pengendali Terengganu Football Club I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim.
Beliau berkata, skuad kendaliannya sepatutnya memenangi aksi tersebut sekiranya tidak melepaskan gol mudah yang membolehkan Kedah mendapat gol penyamaan pada minit ke-63.
“Gol itu terhasil akibat lemahnya komunikasi antara penjaga gol (Mohd. Suffian Rahman Raman) dan barisan pertahanan.
“Sekiranya mereka dapat berkomunikasi dengan baik, sudah pasti hantaran pemain import Kedah, Sandro Da Silva dapat dikekang sekali gus menghalang Baddrol Bakhtiar daripada menjaringkan gol tersebut,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Irfan juga mengakui ketiadaan penyerang utama, Tchetche Kipre yang mengalami kecederaan turut menyebabkan barisan hadapan TFC I kurang agresif seperti kelaziman.
Begitu pun, beliau tetap memuji gandingan Bruno Suzuki dan Akkani Sunday Wasiu yang bekerja keras berusaha untuk merobek pintu gawang Kedah sepanjang aksi tersebut.
“(Bruno) Suzuki telah beraksi baik menggerakkan jentera serangan TFC I dalam tempoh 90 minit. Sunday (Wasiu) pula dilihat cepat menyesuaikan diri dalam taktik permainan walaupun baru dipinjamkan dari TFC II.
“Khidmat dia (Sunday Wasiu) masih ditagih TFC I untuk aksi penting menentang Pahang pada Selasa ini. Harap sentuhannya semakin tajam pada perlawanan itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Irfan memberitahu, Sunday Wasiu akan dipulangkan semula kepada TFC II selepas dua aksi tersebut kerana Kipre dijangka sembuh sepenuhnya daripada kecederaannya pada 6 Mei depan.
Pada aksi kelmarin, TFC I menemui gol awal menerusi rembatan padu pemain sayap, J. Partiban yang menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-43.
No comments:
Post a Comment