Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu TDM Berhad (TDM) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM52.3 juta pada tahun kewangan 2017 berbanding RM35.1 juta pada tahun 2016.
Perolehan TDM pada tahun kewangan sama juga meningkat kepada RM448.8 juta berbanding RM428.5 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi TDM, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, prestasi yang lebih baik itu dipacu oleh prestasi memberangsangkan di dalam sektor perladangan dan kesihatan yang masing-masing mencatat kenaikan pendapatan 7.9 peratus dan satu peratus.
penambahan pengeluaran dan harga jualan kelapa sawit yang tinggi serta kenaikan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di rangkaian hospital milik TDM menjadi pendorong kepada peningkatan positif tersebut.
"Secara keseluruhannya TDM berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan iaitu muncul antara 100 syarikat terbaik di Bursa Saham Kuala Lumpur menjelang tahun 2022," katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Agung Tahunan TDM di sini semalam.
TDM yang menceburkan dalam sektor peladangan dan kesihatan memiliki 36,363 hektar ladang kelapa sawit dan empat buah hospital iaitu Hospital Pakar Terengganu, Pusat Perubatan Kuantan, Pusat Perubatan Kelana Jaya dan Pusat Perubatan Taman Desa.
No comments:
Post a Comment