Translate

Monday, May 7, 2018

Ketengah bina Bandar Baru Gawi

HULU TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan Bandar Baru Gawi sebagai bandar satelit kepada Tasik Kenyir dekat sini sebagai sokongan kepada kepesatan kawasan bebas cukai berkenaan.

Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, tapak tanah seluas 25.11 hektar yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pengkalan Gawi iaitu pintu masuk ke Tasik Kenyir telah digazetkan untuk pembangunan fasa satu projek berkenaan.

Beliau berkata, Bandar Baru Gawi bukan sahaja menyediakan kediaman untuk keperluan penduduk setempat khususnya pekerja sektor pelancongan dan perkhidmatan di Tasik Kenyir, malah bakal memenuhi keperluan pelancong seperti  penyediaan hotel, restoran, dobi, klinik dan stesen minyak.

“Antara komponen yang bakal diba­ngunkan untuk fasa satu Bandar Baru Gawi adalah 338 unit rumah teres dan berkembar, premis perniagaan, surau, tadika dan dewan serba guna.

“Ketengah akan menyediakan infrastruktur seperti pencawang elektrik, loji rawatan kumbahan, rumah pam, tangki air dan kolam takungan di tapak pembangunan baru tersebut dengan kos RM21 juta,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Bandar Baru Gawi dekat sini semalam.

Majlis pecah tanah terbabit disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat.

Omar berkata, kerja-kerja pembinaan infrastruktur di tapak pembangunan Bandar Baru Gawi dijangka bermula pada bulan hadapan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurutnya, Bandar Baru Gawi dijangka didiami kira-kira 2,000 penduduk dan menarik sekurang-kurangnya satu juta pelancong setahun apabila siap sepenuhnya.

Pada tahun lalu, direkodkan seramai 808,336 orang mengunjungi tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

No comments:

Post a Comment