Translate

Wednesday, May 23, 2018

Rahsia tanam dadah terbongkar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taktik seorang pengedar dadah menanam stok dadah di dalam tanah bagi mengelak dihidu pihak berkuasa gagal apabila dia berjaya diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus dekat sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, sejumlah 40 botol yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin berjaya dijumpai tertanam sedalam kira-kira 0.3 meter di belakang rumah suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, polis telah melakukan serbuan di premis terbabit yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 20 tahun disyaki pengedar dadah.

Katanya, risikan dijalankan selama tiga minggu sebelum serbuan dijalankan.

“Pemeriksaan pada badan suspek dan di dalam rumah itu tidak menemui sebarang barang bukti namun setelah disoal siasat, lelaki itu mengaku telah menanam sejumlah dadah di belakang rumahnya.

“Setelah digali, polis berjaya menjumpai 40 botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 174 gram yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu semalam.

Menurut Roslan, kuantiti dadah berkenaan mampu menghasilkan 50 hingga 60 tiub straw yang dijual pada kadar RM10 hingga RM12 setiap satu.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan seorang pengganggur telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah Kuala Nerus sejak 10 bulan lalu.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkenaan penyalahgunaan dadah dan dia ditahan reman sehingga 21 Mei ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment