Translate

Monday, May 7, 2018

BN mahu rampas semula Marang

MARANG – Calon baharu Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Marang, Mohamad Nor Endot berazam untuk menjadi giant killer kedua bagi menumbangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mohamad Nor berkata, Parlimen Marang bukanlah kubu kebal buat Abdul Hadi yang sudah tujuh penggal bertanding di kawasan tersebut kerana bekas Menteri Besar Terengganu itu pernah tewas dua kali pada tahun 1986 dan 2004.

Menurut beliau, BN pernah berjaya menawan kerusi Parlimen itu pada kedua-dua pilihan raya umum berkenaan menerusi Datuk Abdul Rahman Bakar sehingga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu digelar giant killer oleh masyarakat tempatan.

“Sudah lama Parlimen Marang dikuasai Pas. Saya mengharap­kan pengundi dapat memberi perubahan dan memberi ruang kepada BN pada PRU kali ini.
“Saya percaya 56 peratus pe­ngundi muda di kawasan Parlimen Marang juga mahu melihat transformasi baharu berlaku di kawasan mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohamad Nor yang merupakan anak didik Abdul Rahman berkata, BN telah membuktikan rekod perkhidmatannya di Marang menerusi pembinaan Kawasan Industri Kecil dan Sederhana Bukit Kor dan Institut Latihan Perindustrian Marang, Bukit Parit di sini ketika dua penggal BN diberi kepercayaan berkenaan.

Mohamad Nor yang sebelum ini diamanahkan sebagai Penyelaras Dewan Undangan Ne­geri Bukit Payung berkata, pembangunan fizikal dan kerohanian di Parlimen tersebut akan lebih rancak dan diperkasa sekiranya beliau terpi­lih menjadi ahli Parlimen.

“Saya beruntung kerana mempunyai jentera pilihan raya yang kuat dan sentiasa bergerak sebagai satu pasukan untuk me­nyaingi pembangkang.

“Rekod perkhidmatan kerajaan negeri Terengganu yang cemerlang pada penggal lalu yang tidak pernah meminggirkan kawasan dikuasai pembangkang seperti Marang juga diyakini bakal menjadi faktor pengundi tempatan kembali kepada BN kali ini,” ujarnya.
Selain Mohamad Nor dan Abdul Hadi, calon Parti Keadilan Rakyat, Dr. Zarawi Sulong yang merupakan aktivis Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia juga menghangatkan pertembungan tiga penjuru di Parlimen Marang pada PRU-14.

No comments:

Post a Comment