Translate

Monday, May 21, 2018

Terengganu umum portfolio 11 Exco

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar) mengumumkan se­narai portfolio 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk membantu kelancaran pentadbiran negeri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, pembahagian portfolio Exco pada penggal kali ini disesuaikan dengan situasi semasa, pengalaman kerajaan-kerajaan negeri lain dan manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya akan mempengerusikan port­folio Jawatankuasa Perancang, Ke­wa­ngan dan Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli manakala ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

“Selain itu, ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak akan mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar manakala ADUN Bukit Payong, Mohamad Nor Hamzah mempengerusikan Jawatankuasa Pemba­ngunan Insan, Dakwah dan Penera­ngan,” kata­nya selepas mesyuarat Exco pertama di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Selain itu, ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa; ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran) serta ADUN Alor, Limbat Ariffin Deraman (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat).

Selain itu, ADUN Chukai, Hanafiah Mat pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional serta ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO).

ADUN Kuala Berang. Dr. Mamad Puteh (Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau) serta ADUN Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (Pengerusi Jawatankuasa Ke­usahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja).

No comments:

Post a Comment