Translate

Wednesday, May 9, 2018

Pusat Komuniti Saadah tawar rawatan pemulihan dadah secara Islamik

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mewujudkan Pusat Komuniti Saadah yang merupakan pusat sehenti perawatan dan pemulihan dadah secara Islamik.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pusat komuniti yang pertama di negeri tersebut beroperasi secara 24 jam di premis tiga tingkat milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu di Gong Badak di sini.

Beliau berkata, Pusat Komuniti Saadah memperkenalkan konsep pemulihan dan perawatan dadah secara Islamik yang menggabungkan pendekatan biologi, psikologi, sosial dan kerohanian.

"Pusat komuniti tersebut diuruskan oleh sukarelawan yang terdiri daripada pakar-pakar dari Pusat Penyelidikan dan Rawatan Ketagihan (Centrena) UniSZA.

"Ia sedia memberikan sokongan kepada mana-mana penagih atau bekas penagih yang mahu berubah ke arah kebaikan. 
Perkhidmatannya percuma kerana berkonsepkan wakaf," katanya selepas merasmikan Pusat Komuniti Saadah tersebut di Gong Badak di sini hari ini.


Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latiff dan Ketua Penyelidik Centrena UniSZA, Prof. Dr. Nasir Mohamad. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment