Translate

Saturday, May 12, 2018

Ahmad Samsuri MB Terengganu

KUALA TERENGGANU – Peralihan kerajaan ne­geri Terengganu berjalan lancar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu semalam.

Ahmad Samsuri, 48, dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu ke-15 selepas mengangkat sumpah di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini malam tadi.

Majlis angkat sumpah ber­kenaan dilakukan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah perlantikan bermula pada pukul 9 malam.

Ahmad Samsuri merupakan bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia dan pakar bidang aeroangkasa yang berkelulusan dari University of Leeds, Britain.

Pada majlis sama, seramai 10 ADUN Pas turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mereka terdiri daripada Satiful Bahri Mamat dari Dewan Undangan Negeri Paka, Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal); Mohd. Nor Hamzah (Bukit Payung); Dr. Azman Ibrahim (Jabi) dan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang).

Selain itu, Ariffin Deraman (Alor Limbat); Hanafiah Mat (Cukai), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam); Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (Kota Putera) turut dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Terengganu.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Terengganu menyaksikan Pas menang 22 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen, manakala Barisan Nasional (BN) menang 10 kerusi DUN dan dua Parlimen.

Sementara itu di Marang, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang berkata, pentadbiran kerajaan negeri yang baharu akan bermula Isnin ini sebaik Ahmad Samsuri dan barisan Exco memasuki pejabat masing-masing di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Husain berkata, Pas mahu mengambil alih proses mentadbir negeri secara tertib, berakhlak dan penuh mesra berlandaskan dasar serta prinsip yang dipegang oleh parti.

Tambah beliau, tugas seluruh kerajaan tempatan hendaklah dijalankan seperti biasa oleh semua agensi termasuk fungsi jawatankuasa masjid serta pengurusan.

Husain memberitahu, tarikh 13 Mei iaitu Ahad ini diumumkan sebagai cuti umum di Terengganu selaras dengan ketetapan kerajaan Persekutuan yang kini diterajui Pakatan Harapan.

No comments:

Post a Comment