Translate

Thursday, May 10, 2018

Keputusan PRU-14: Pas tunggu keputusan rasmi PRU-14 sebelum ambil keputusan bergabung dengan mana-mana parti lain

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Pas mahu menunggu keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum membuat keputusan sama ada untuk bergabung dengan mana-mana parti politik lain yang membentuk kerajaan persekutuan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kemungkinan tersebut tidak ditolak dan ia akan berasaskan tawaran yang akan diberikan oleh parti politik terlibat.

"Masih terlalu awal untuk memutuskannya, kita tunggu keputusan rasmi (PRU-14) dahulu.

"Apa yang penting dahulu mana-mana pihak membentuk kerajaan persekutuan perlu menghormati hak Pas yang membentuk kerajaan negeri terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Pas berjaya membentuk kerajaan negeri Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di sini hari ini.

Selain Terengganu, Pas dikatakan turut mengekalkan kerajaan negeri Kelantan.

Pas juga dikatakan menguasai 21 kerusi DUN Terengganu iaitu penambahan tujuh kerusi dari PRU-13.

Ditanya kemungkinan gabungan pembangkang yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengulangi pendekatan keras terhadap kerajaan negeri Terengganu diterajui Pas seperti pada tahun 1999, Abdul Hadi berkata, kerajaan persekutuan perlu menghormati konsep Persekutuan seperti yang digariskan dalam  Perlembagaan Malaysia.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kepimpinan Pas sedang menunggu perkenan Sultan Terengganu untuk menghadap mempersembahkan keputusan PRU-14  bagi membentuk kerajaan negeri pada masa terdekat.


Begitupun, beliau enggan mendedahkan calon Menteri Besar Terengganu walaupun desas-desus mengatakan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang memenangi DUN Rhu Rendang akan dipilih untuk menerajui kerajaan negeri. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment