Translate

Tuesday, May 15, 2018

Ahmad Razif serah tugas Menteri Besar Terengganu kepada Ahmad Samsuri secara rasmi

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perubahan kerajaan negeri Terengganu antara Barisan Nasional (BN) kepada Pas berlaku secara tertib dengan penyerahan tugas Menteri Besar daripada Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman kepada Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, beliau amat menghargai kesudian Ahmad Razif yang berjiwa besar untuk menjayakan majlis serah tugas Menteri Besar Terengganu tersebut.

"Ini satu permulaan yang baik dan contoh hebat untuk kerajaan negeri lain. Kita boleh berpolitik dalam apa sahaja fahaman dan pegangan tetapi akhirnya perlu mencari jalan terbaik untuk rakyat Terengganu.

"Generasi baharu perlu mengetahui politik hari ini untuk menyelesaikan masalah bukannya menimbulkan masalah baru dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas terbabit di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Razif pula berkata, BN Terengganu menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan berlapang dada dan bersedia untuk membantu kerajaan negeri yang kini diterajui Pas demi manfaat rakyat.

"Bagi saya, kita (BN) bermula (menubuhkan kerajaan negeri) dengan baik dan biarlah juga ia berakhir dengan baik. PRU-14 sudah berlalu, yang penting kita perlu memandang ke hadapan," katanya.

Pada PRU-14, Pas berjaya menubuhkan kerajaan negeri Terengganu dalam tempoh 19 tahun selepas menguasai 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN pula mendapat 10 kerusi DUN. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment