Translate

Sunday, May 20, 2018

Sindiket aktif edar dadah di Kemamam lumpuh

MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif di daerah ini sejak awal tahun ini lumpuh selepas lima anggotanya diberkas polis di sebuah premis di Kampung Mak Chili Paya, Chukai di sini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi itu,  polis berjaya merampas sejumlah dadah dipercayai jenis heroin, syabu dan pil yaba serta kenderaan pelbagai jenis, Toyota Wish dan motosikal jenis Yahama Nouva LC yang bernilai keseluruhan RM60,860.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, serbuan terbabit berjaya menahan kelima-lima suspek yang berusia dalam lingkungan antara 25 hingga 41 tahun.

"Pemeriksaan pada badan suspek berusia 36 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan telah menjumpai sebuah beg kecil yang mengandungi 190 pil berwarna merah dipercayai pil yaba dan serbuk serta ketulan kristal disyaki dadah jenis heroin.

"Polis juga menjumpai beberapa plastik mengandungi ketulan kristal disyaki syabu, 30 biji pil berwarna merah dipercayai pil yaba dan serbuk yang turut dipercayai pil yaba di sekitar premis berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kemaman di sini hari ini.


Mohd. Said berkata, sebuah pemetik api, alat penimbang digital dan botol kaca yang telah diubahsuai disyaki digunakan sebagai alat penagihan dadah turut berjaya dirampas dalam serbuan itu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment