HULU TERENGGANU - Kegiatan dua beradik yang disyaki aktif mengedar dadah di sekitar Telemong di sini terbongkar dengan penahanan mereka di sebuah rumah di Kampung Pantai Ali di sini pada kelmarin.
Serbuan yang diadakan pada pukul 9.50 pagi tersebut berjaya menemui 19.13 gram serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan 20.22 gram pil berwarna merah dan hijau disyaki pil kuda yang kesemuanya bernilai keseluruhan RM3,340.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu serbuan diadakan, suspek pertama berusia 45 tahun yang berada di ruang tamu tergamam dengan kehadiran polis manakala adik lelakinya pula cuba melarikan diri.
"Suspek kedua yang berusia 36 tahun telah bertindak terjun dari tingkap di bahagian dapur namun cubaannya untuk melarikan diri gagal akibat dikepung pasukan polis.Sebuah bekas penyimpanan cermin mata ditemui terjatuh sewaktu dia bergelut untuk melepaskan diri daripada polis.
"Pemeriksaan di dalam bekas penyimpanan cermin mata tersebut telah menjumpai sebotol plastik berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan straw mengandungi 10 biji pil berwarna merah disyaki pil kuda," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment