MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Pengundi perlu menggunakan kebijaksanaan mereka dalam membuat penilaian terbaik bagi membuat pilihan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Rabu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kriteria seperti parti mana yang mempunyai agenda terbaik untuk negara, boleh membawa negara ke mercu kejayaan dan mampu membawa kehidupan lebih baik kepada rakyat sepatutnya menjadi kayu ukur kepada pengundi dalam membuat perhitungan pada 9 Mei ini.
"Kalaupun kita dilanda dengan tsunami fitnah dengan cerita memburukkan kerajaan dan pemimpin (negara), saya ingin menasihatkan kita tidak boleh membina masa depan sebuah negara bangsa berdasarkan hasutan mahupun serangan peribadi.
"Kita mesti membuat pertimbangan berasaskan fakta bukan auta untuk menjadi pengundi matang dan tahu memilih antara permata dan kaca," katanya ketika merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu di sini hari ini.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, berdasarkan agenda di peringkat nasional mahupun negeri, BN terbukti mampu membawa negara ini ke hadapan sekali gus meletakkannya sebaris dengan negara maju pada masa terdekat.
Menurut beliau, sebagai contoh, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sahaja yang menghubungkan Gombak, Selangor hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan mampu membawa perubahan positif yang cukup ketara kepada Pantai Timur termasuk Terengganu. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment