Translate

Wednesday, May 16, 2018

Kematian anak dapat pembelaan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU – Penderitaan pasangan guru yang kehilangan anak bongsu mereka lima tahun lalu akibat kecuaian berakhir selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan 11 defendan termasuk dua pengarah hospital dan lapan doktor membayar ganti rugi RM896,792.13 kepada plaintif.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz sewaktu membacakan penghakiman dalam kamar mahkamah berkata, pampasan dibenarkan itu merangkumi ganti rugi am berjumlah RM600,000, ganti rugi khas (RM96,792.13) dan ganti rugi teladan (RM200,000) berserta lima peratus faedah dan kos setahun.

Beliau menerima pengakuan kesemua defendan termasuk pengarah Hospital Besut dan pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengaku melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian Ulya Insyirah Muhamad Sardi pada 5 Disember 2013.

Defendan-defendan terbabit membuat pengakuan itu ketika prosiding kes tuntutan saman yang dikemukakan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak perem­puan tersebut, Muhamad Sardi Saad, 42, dan Fadilah Abd. Wahab, 48, pada 3 April tahun lalu.

Lapan doktor berkenaan ialah Dr. Shairazi Azizi Mohd. Salleh, Dr. Mohd. Ruhaifi Yusuf, Dr. Norzaherawati Aryani Md. Tahir, Dr. Hasmani Hamat, Dr. Muhammad Solehuddin Ishak, Dr. Noor Ain Noor Afendi, Dr. Sharifah Huda Engku Alwi dan Datuk Dr. Jimmy Lee Kok Foo.

Mereka merupakan doktor perubatan di Hospital Besut dan HSNZ. Tiga lagi defendan ialah pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus dan Pengarah Hospital Besut, Dr. Asmaliza Abdul Rahman serta kerajaan Malaysia.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Muhamad Sardi dan Fadilah telah membawa anak bongsu mereka, Ulya Insyirah yang mengalami muntah-muntah ke Unit Kecemasan Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan pukul 9.30 pagi, 5 Disember 2013.

Dakwa mereka, mangsa diberikan rawatan susulan dengan air dimasukkan melalui tangannya sehingga menjadi punca kom­plikasi yang menyebabkan tangan dan badan kanak-kanak itu membengkak dan sembap.

Kanak-kanak perempuan itu kemudian tidak sedarkan diri pada pukul 11 malam sebelum dikejarkan ke HSNZ pukul 5 pagi keesokannya sebelum disahkan meninggal dunia pukul 8.05 pagi, 6 Disember 2013 akibat bengkak dalaman yang serius.

Muhamad Sardi dan Fadilah mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM10 juta pada 6 Di­sember 2015 ekoran kehilangan anak bongsu mereka yang ketika itu berusia empat tahun.

Kedua-dua plaintif diwakili peguam, Syukran Noordin manakala Peguam Kanan Persekutuan, Aida Nurdiana Che Kamarulzaman pula mewakili kesemua defendan.

Sementara itu, Fadilah berkata, dia sekeluarga melahirkan rasa bersyukur kerana akhirnya keadilan terhadap kematian anak bongsu mereka daripada tiga beradik tersebut dapat ditegakkan.

Suaminya pula berkata, kehilangan Ulya Insyirah memberi kesan besar kepada keluarga sehingga dia dan isterinya terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

“Kami terima ujian berat termasuk menerima kata-kata nista daripada segelintir masyarakat yang mendakwa kononnya tuntutan saman difailkan kerana inginkan wang semata-mata.

“Ini buat soal tidak reda tetapi lebih kepada mempertahankan hak kami sebagai ibu bapa yang kehilangan anak akibat kecuaian hospital,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment