MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Seramai 7,129 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Terengganu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hari ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, Terengganu mempunyai 27 pusat pengundi awal merangkumi 24 yang dikhaskan untuk anggota PDRM dan tiga untuk anggota ATM.
"Seramai 1,511 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu akan mengundi awal di Dewan Budaya IPK Terengganu.
"Baki 3,264 pegawai dan anggota polis di IPD lain di negeri ini akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di kawasan masing-masing dari pukul 8 pagi hingga 5 petang ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi awal di IPK Terengganu di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Aidi berkata, seramai 2,354 pegawai dan anggota ATM pula akan mengundi awal di tiga pusat pengundian awal masing-masing di Kem Sri Pantai, Kuala Nerus; Pangkalan Udara Gong Kedak, Besut dan Kem Rejimen 512 Padang Midin, Marang.
Tinjauan Kosmo! di IPK Kuala Terengganu pula mendapati laluan masuk ke Dewan Budaya yang menjadi lokasi pusat pengundian awal dipenuhi kehadiran kira-kira 30 perayu undi Barisan Nasional dan Pas tanpa kehadiran seorang pun dari Parti Keadilan Rakyat. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment