KEKALAHAN Terengganu Football Club II (TFC II) pada aksi Liga Premier kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin amat mengecewakan pengendalinya, Mustaffa Kamal Wahab.
Beliau secara berterus terang menyifatkan aksi yang dipamerkan para pemain pada perlawanan tersebut sebagai terburuk sepanjang kempen Liga Premier musim ini yang sudah memasuki pusingan kedua.
“Corak permainan yang dipamerkan pemain (TFC II) malam ini (kelmarin) boleh katakan paling teruk setakat ini.
“Paling mengecewakan, kami sepatutnya mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada aksi ini tetapi ditewaskan oleh jaringan lewat pasukan lawan pada masa kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Jaringan pemusnah penyerang import PDRM, Shim Un-seob pada minit ke-92 menyebabkan TFC II tumbang 1-2 di gelanggang sendiri sekali gus menghancurkan harapan tuan rumah untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata.
Mustaffa Kamal berkata, beliau juga terkilan kerana gol kemenangan lawan tersebut terhasil daripada kesilapan yang dilakukan antara kapten pasukan, Mohd. Hasbullah Awang dan penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.
Tambah beliau, penyerang import kelahiran Korea Selatan, Lee Jun Hyeob turut gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak ditukarkan dari TFC I.
“Dia gagal memberi sumbangan bermakna kepada pasukan terutama dalam menggerakkan jentera serangan kita. Saya kecewa kerana prestasinya tidak setaraf status sebagai pemain import,” katanya.
Kekalahan terbaharu tersebut menyebabkan TFC II berada di tangga kesembilan dengan kutipan 10 mata selepas mengharungi 11 aksi Liga Premier.
No comments:
Post a Comment