Translate

Friday, May 25, 2018

Corak agresif bantu TFC I benam Perak – Irfan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) berjaya mencapai misi meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan Perak 2-0 pada aksi Liga Super ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Kemenangan bergaya itu juga me­nebus kekalahan 2-3 TFC I sewaktu berkunjung ke Ipoh menentang skuad sama pada pu­singan pertama.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kemenangan itu dicapai selepas anak-anak buahnya mengikut arahan meneruskan corak permainan agresif seperti aksi menentang Pahang di Kuantan minggu lalu.

“Saya mendapati tiga kekalahan sebelum ini (kepada Johor Darul Ta’zim, Pahang dan Perak) disebabkan pasukan lawan mengambil kesempatan daripada corak pemainan longgar kita.

“Justeru, saya meminta anak-anak buah saya bermain secara agresif dan setakat ini berjaya memerangkap Pahang dan Perak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Penyerang sensasi TFC I, Tchetche Kipre yang juga kapten pasukan itu muncul wira apabila meledak kedua-dua gol pada minit ke-26 dan ke-51.

Dua jaringan berharga itu memboleh­kan Kipre yang baru pulih daripada kecederaan kembali memimpin carta penjaring terbanyak Liga Super musim ini dengan lapan gol.

Irfan berkata, beliau juga mendedikasikan kemenangan berharga tersebut kepada penyokong tegar TFC I yang tidak jemu-jemu memenuhi stadium walaupun pada bulan Ramadan ini.

No comments:

Post a Comment