Translate

Thursday, August 4, 2016

Tiada pembubaran DUN Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman menafikan desas-desus yang mendakwa kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal dibubarkan dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional negeri juga menegaskan tidak pernah menerima sebarang desakan untuk meletakkan jawatan daripada mana-mana pihak termasuk akar umbi UMNO.

“Tiada alasan DUN perlu dibubarkan kerana situasi politik di negeri ini stabil. Cuma mungkin ada pihak cuba cetuskan isu tapi itu biasalah dalam politik.

“Pentadbiran (kerajaan negeri) juga berjalan dengan baik malah mendapat sokongan barisan Exco (Ahli Maj­lis Mesyuarat Kerajaan Ne­geri),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, beliau juga yakin usul tidak percaya terhadapnya seperti yang pernah dilakukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini tidak akan dibentangkan pada Sidang DUN ne­geri pada Isnin depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Razif me­nganggap kelantangan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas negeri, Ghazali Taib mengkritik kepimpinan kerajaan negeri sejak akhir-akhir ini adalah pandangan peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil terbabit.
Sementara itu, Ghazali memberitahu, tindakannya membuat teguran terbabit bertujuan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

Pada masa ini, BN menguasai 17 kerusi DUN Terengganu, manakala Pas mempunyai 14 kerusi dan PKR pula hanya diwakili seorang ADUN.

No comments:

Post a Comment