Translate

Friday, August 5, 2016

Nur Aqilah mahu jadi pemanah terbaik negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

OLAHRAGAWATI Sukan Malaysia (Sukma) 2016, Nur Aqilah Yusof berazam menjadikan pres­tasi memberangsangkan pada temasya dwitahunan itu yang berakhir Ahad lalu sebagai azimat untuk memburu-buru cita-cita bergelar pemanah wanita terulung negara suatu hari nanti.

Atlet memanah Terengganu berusia 17 tahun itu berkata, beliau berbangga kejayaannya merangkul tiga pingat emas dan memecahkan satu rekod kebangsaan dan dua rekod Sukma membuka mata ramai pihak.

“Saya menerima tawaran untuk menyertai skuad memanah kebangsaan yang merupakan suatu penghormatan. Saya akan memikirkannya selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bersyukur kepada Allah atas kejayaan ini dan berterima kasih kepada Persatuan Mema­nah Terengganu, rakan sepasukan dan keluarga kerana banyak memberi dorongan,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Lebih 50 sanak-saudara dan rakan termasuk bapa, Yusof Abdul Latif, 45, dan ibu tiri, Salmi Said, 44, serta pengurus skuad memanah Terengganu, Ahmad Jalani Halus menyambut ketibaan Nur Aqilah yang pulang dari Kuching, Sarawak.

Nur Aqilah yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, kejayaan itu didedikasikan kepada Allahyarham ibunya yang meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

Menurutnya, dia sekadar menyasar satu pingat emas pada temasya Sukma kali ini, namun latihan insentif diatur Persatuan Memanah Terengganu sejak dua tahun lalu termasuk di Korea pada bulan Ramadan lalu telah ba­nyak membantunya meningkatkan prestasi.

“Saya akan berehat daripada menyertai mana-mana pertandingan memanah bagi menumpukan pada pelajaran sehingga tamat SPM,” ujar pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Nerus tersebut.

Pada Sukma lalu, Nur Aqilah memperoleh tiga pingat emas dalam acara 70 meter recurve, 60m recurve dan berpa­sukan recurve serta satu pingat gangsa dalam 30m.

No comments:

Post a Comment