KUALA TERENGGANU - Dua pemandu bas ekspres masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM924,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengangkut rokok seludup dengan kenderaan pengangkutan awam tersebut pada 10 bulan lalu.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi memutuskan demikian terhadap Mohammad Zurie Ismail, 45, dan Razak Arnan, 53, selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendali Pegawai Pendakwa, Mohd. Redzuan Hamdan berjaya membuktikan kes prima facie.
Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Zurie dan Razak didakwa dengan niat bersama mengangkut 3,850 karton rokok seludup berjenama Saat bernilai RM26,950 dengan bas ekspres di Plaza Tol Gemuruh, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kuala Nerus pada pukul 3.20 pagi, 21 Oktober 2015.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 dan 20 kali nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment