Translate

Wednesday, August 10, 2016

Ketua JPJKK Terengganu meninggal dunia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Terengganu, Asisten Komisioner Shahrin Ahmad meninggal dunia kerana komplikasi sesak nafas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd. Rahman berkata, Shahrin, 59, menghembuskan nafas terakhir di Wad Rawatan Rapi HSNZ pada pukul 9.10 malam.

“Allahyarham (Shahrin) telah dikejarkan ke hospital tersebut selepas mengalami sesak nafas di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada pukul 11 pagi, Khamis lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rosli berkata, Shahrin yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Beliau berkata, Shahrin yang memulakan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia pada tahun 1979 telah melaporkan diri ke IPK Terengganu sebagai Ketua JPJKK negeri pada 19 Oktober 2015.

“Sepanjang bertugas di IPK Terengganu, Allahyarham Shahrin terkenal dengan sikap ramah dan sangat disenangi rakan setugas.

“Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak, Selangor pada pukul 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

Sepanjang kariernya, Shahrin juga pernah bertugas di Cawangan Khas IPK Kedah, Selangor, Perak dan Perlis serta Majlis Keselamatan Negara, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment