Translate

Saturday, August 27, 2016

Atlet Sukma Terengganu menang pingat mendapat habuan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KONTINJEN Terengganu menerima ganjaran keseluruhan berjumlah RM1.54 juta daripada kerajaan negeri atas pencapaian cemerlang  menduduki tempat ketiga pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, skuad berbasikal menerima habuan terbesar iaitu RM230,000 atas kejayaan merangkul 14 pingat emas dan masing-masing empat pingat perak dan gangsa daripada 20 acara yang dipertandingkan.

“Ia diikuti skuad sepak takraw dengan insentif sebanyak RM130,000, petanque (RM121,000), memanah (RM104,500) dan olahraga (RM102,00).

“Bagi kategori individu pula, atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir menerima insentif terbesar iaitu RM25,000 setelah merangkul lima pingat emas pada Sukma 2016,” kata Ahmad Razif selepas menyampaikan insentif tersebut di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Ahmad Razif berkata, atlet memanah, Nur Aqilah Yusof yang juga Olahragawati Sukma 2016 merupakan atlet kedua menerima insentif tertinggi dengan RM22,500 atas kejayaan merangkul empat pingat emas dan satu pingat gangsa serta memecahkan satu rekod kebangsaan dan dua rekod Sukma.

Menurut beliau, walaupun gagal mencapai sasaran menjadi juara keseluruhan, kerajaan negeri tetap berpuas hati dengan prestasi kontinjen yang berjaya mengutip 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

“Tambah membanggakan, pungutan pingat diperoleh oleh 21 daripada 24 acara yang dipertandingkan. Sukan yang sebelum ini asing bagi Terengganu seperti gimnastik, tenis, tinju dan golf juga turut menyumbangkan pingat,” katanya.

Ahmad Razif berkata, MSNT telah diarah untuk memulakan program Sukma 2018 bermula Oktober depan bagi mencapai sasaran menjadi juara keseluruhan pada temasya sukan dwitahunan tersebut yang akan diadakan di Perak nanti.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru atlet pelapis negeri terbabit agar mencontohi pencapaian empat ahli sukan kelahiran Terengganu iaitu Azizulhasni Awang (berbasikal), Fatehah Mustapa (berbasikal), Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) dan Khairul Anuar Mohamad (memanah) yang mewakili negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

No comments:

Post a Comment