Translate

Wednesday, August 3, 2016

Sindiket tipu guna nama istana

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taktik sebuah sindiket yang menjaja nama institusi istana Terengganu untuk menipu syarikat kontraktor pembinaan terbongkar dengan tertangkapnya lima lelaki pada dua minggu lalu.

Kelicikan sindiket yang didala­ngi seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan Istana Syarqiy­yah, Chendering di sini itu hampir memerangkap empat syarikat kontraktor pembinaan terkenal di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superitendan Koh Ah Tiam berkata, kesemua syarikat kontraktor pembinaan terbabit masing-ma­sing hampir kerugian kira-kira RM1 juta kononnya sebagai bayaran komitmen untuk membida projek menaik taraf jalan raya yang sebenarnya tidak wujud.

“Sindiket berkenaan telah menawarkan projek menaik taraf jalan raya yang dikatakan menelan kos RM442 juta kepada syarikat-syarikat kontraktor pembinaan sasaran menerusi aplikasi WhatsApp sejak pertengahan bulan Jun.

“Bagi meyakinkan mangsa, selain melampirkan dokumen palsu berhubung projek ber­kenaan, dalang sindiket itu turut mengaku kononnya individu berpangkat Datuk Paduka yang berpengaruh di Istana Tengganu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini semalam.

Ah Tiam berkata, sindiket berkenaan mengenakan bayaran komitmen sebanyak antara RM600,000 dan RM1 juta kepada setiap syarikat kontraktor pembinaan yang berminat untuk membida projek menaik taraf jalan raya berkenaan.

Menurut beliau, sindiket ber­kenaan dalam proses mempe­rolehi bayaran komitmen terbabit daripada empat syarikat kontraktor pembinaan terbabit yang mahu dilunaskan menerusi draf bank sebelum kelima-lima suspek yang berusia dalam lingku­ngan 30-an hingga 60-an berjaya diberkas polis pada 23 Julai lalu.

“Kesemua mereka ditahan di sekitar bandar raya Terengganu dan barangan seperti komputer peribadi, dokumen, telefon bimbit dan sekeping kad keahlian darjah kebesaran Istana Terengganu milik dalang yang berusia 43 tahun turut dirampas.

“Siasatan mendapati, kad keahlian itu adalah palsu dan lelaki yang menetap di Kubang Parit di sini itu sebenarnya be­kerja sendiri serta tidak pernah dikurniakan sebarang darjah kebesaran,” katanya.

Ah Tiam berkata, hasil siasatan juga mendapati, projek menaik taraf Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru dari Pulau Rusa, Manir dekat sini hingga ke Batu Enam, Kuala Nerus yang ditawarkan itu sebenarnya masih di peringkat cadangan kerajaan negeri dan belum diluluskan kerajaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment