Translate

Sunday, August 7, 2016

T-Team kembali bersemangat

KEJAYAAN menumbangkan Selangor di ge­langgang sendiri memberi kepuasan bermakna buat T-Team, sekali gus meningkatkan semula moral pasukan itu untuk terus bersaing dalam Liga Super, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan berkata, motivasi anak-anak buahnya telah terjejas teruk selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam saingan liga sebelum ini iaitu kepada Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah.

“Sedikit sahaja silap, kita terperosok ke tempat kelapan liga walaupun pernah ampuh di tangga keempat pada pusingan pertama.

“Begitupun situasi itu ada hikmahnya, pemain-pemain saya yang sebelum ini se­olah-olah berada di awangan kerana berada di kedudukan teratas, kini kembali berpaksi kepada realiti,” kata Darmawan ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

T-Team yang mendapat jolokan The Titans, memperoleh tiga mata berharga menerusi ja­ringan kemenangan oleh pemain import tengah, Makan Konate pada minit ke-36.

Darmawan berkata, prestasi buruk dalam tiga perlawanan sebelum ini telah meningkatkan motivasi anak-anak buahnya untuk bermain mati-matian bagi memulihkan semula prestasi pasukan, sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Dalam perkembangan sama, Darwawan yang merupakan bekas jurulatih pasukan Bawah-23 Indonesia memberitahu, kunci kejayaan mereka menumbangkan Selangor ialah mengawal pergerakan barisan tengah skuad Gergasi Merah itu.

Menurut beliau, setiap kali barisan tengah Sela­ngor yang dikemudi Muhammad Nazmi Faiz Mansor membuat gerakan, pemain-pemainnya akan memberi tekanan sehingga berjaya mematikan percaturan pasukan dari Lembah Klang tersebut.

“Mereka (barisan tengah Selangor) masuk (kawasan T-Team), kita tekan. Itulah strategi yang di­ikuti pemain saya sehingga hampir tiada percubaan tepat dilakukan ke pintu gol kami (oleh Se­langor),” katanya.

No comments:

Post a Comment