PENGENDALI sementara Terengganu, Mustafa Kamal Abd. Wahab bagaikan hilang idea untuk memulihkan prestasi anak-anak buahnya selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut termasuk aksi menentang Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan D kempen Piala Malaysia 2016 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Mustafa yang merupakan sebahagian daripada anggota skuad Terengganu menjulang Piala Malaysia pada tahun 2001 berkata, barisan serangan terus buntu untuk melakukan jaringan walaupun aspek tersebut telah diberi penekanan dalam setiap sesi latihan mereka sebelum ini.
“Kita menguasai perlawanan. Taktik serangan yang diterapkan juga menjadi dengan tiga percubaan tepat diperoleh pada separuh masa pertama dan empat pula pada babak berikutnya, namun gagal disempurnakan dengan baik.
“Cuma kita berjaya memanfaatkan satu sahaja daripada deretan peluang itu. Dalam bola sepak, keputusan perlawanan dibezakan menerusi berapa banyak peluang yang mampu diterjemah kepada gol,” kata Mustafa.
Pada perlawanan tersebut, Terengganu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan.
Biarpun mendahului menerusi tandukan penyerang import, Bogdan Milic (m-22), Terengganu tewas dengan dua jaringan yang dicetak dua penyerang pasukan pelawat iaitu Goran Jerkovic dan Muhd. Afiq Azmi masing-masing pada minit ke-72 dan ke-80.
Perlawanan tersebut juga panas dan agresif sehingga berlaku situasi tegang antara penyerang import Terengganu, Issey Farran Nakajima dan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Daniel Sang Ting.
Akibatnya, dua pemain berkenaan menerima padah apabila dilayangkan kad merah oleh Zulkifli pada masa kecederaan.
Mustafa berkata, kegagalan barisan serangan yang dikemudi Milic, Issey Farran Nakajima dan Norshahrul Idlan Tahala menemui sasaran menyebabkan mereka gagal untuk meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, sebelum perlawanan, dia telah melakukan beberapa percaturan pada sesi latihan namun impaknya masih belum dirasai.
“Saya akan cuba memperbaiki kelemahan itu secepat mungkin. Saya akui sedikit panik dan kecewa apabila kita tewas tiga perlawanan berturut-turut termasuk dua di gelanggang sendiri.
“Apa pun saya berazam untuk melakukan yang terbaik selagi diberi kepercayaan (sebagai pengendali sementara),” katanya.
No comments:
Post a Comment