Translate

Monday, August 22, 2016

Serah kerajaan dalam keadaan kuat

Oleh FIRDAUS HASSAN, MOHD. AZLI ADLAN, KASANABILAH KAMARUL ?ZAMAN dan YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan kerajaan dan parti kepada bakal penggantinya apabila bersara kelak dalam keadaan yang kuat serta terbaik.

Najib yang juga Presi­den UMNO berkata, beliau juga akan berpesan kepada penggantinya nanti agar membawa negara serta parti ke arah yang lebih cemerlang dari­pada apa yang dilakukannya.

“Perkara ini merupakan kesinambungan perjuangan UMNO yang diperturunkan daripada kepimpinan terdahulu. Apakah perjuangan UMNO selesai selepas zaman saya?

“Tentu tidak, apabila bersara nanti, saya akan menyerahkan kerajaan dan parti dalam keadaan terbaik kerana parti ini bukan milik sesiapa, parti adalah warisan harta pusaka kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Selepas majlis itu, Perdana Menteri meluangkan masa menziarahi bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad di rumahnya di Kampung Lemal di Pasir Mas.

Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit beramah mesra de­ngan Hussein, 81, yang menghidap penyakit angin ahmar dan menjejaskan sedikit pertuturannya.
Hussein menjawat jawatan Ke­tua Penerangan UMNO dari tahun 1982 hingga 1996.

Di Terengganu, Najib memberitahu rakyat negeri itu agar tidak perlu bimbang sebaliknya menyerahkan kepada beliau untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, pendekatan terbaik menerusi prinsip syura akan diputuskan dalam masa terdekat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada UMNO.

“Saya ada bincang dengan setiap ADUN (UMNO Terengganu). Saya hendak tahu apa (punca) sebenarnya dan dapat gambaran yang terbaik,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini.

Turut hadir Menteri Besar, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi.

No comments:

Post a Comment