Translate

Monday, August 8, 2016

Terengganu mohon royalti minyak

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu telah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan royalti lima peratus daripada hasil petroleum telaga minyak Bertam yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebuah jawatankuasa dipengerusikan beliau yang turut dianggotai oleh wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan telah ditubuhkan berhubung tuntutan tersebut.

"Saya difahamkan hasil daripada telaga minyak Bertam berkenaan masih belum diagih-agihkan kepada mana-mana negeri.

"Tidak timbul soal kononnya saya mencagar (menggadai) telaga minyak itu kerana ia hak mutlak kerajaan Persekutuan, bukan milik kerajaan negeri kerana terletak lebih tiga batu nautika dari perairan Terengganu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di Pusat Dagangan Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa isu pemilikan telaga minyak Bertam terbabit merupakan salah satu sebab beliau menentang kepimpinan Ahmad Razif.

Ahmad Razif memberitahu, permohonan tersebut yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih dalam proses rundingan.

No comments:

Post a Comment