Translate

Tuesday, August 30, 2016

T-Team masih belum mahu menyerah kalah

BIARPUN gagal membawa bekalan selesa bagi mengharungi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2016 di gelanggang lawan pada 17 September nanti, skuad T-Team optimis peluang mereka untuk mara ke separuh akhir masih terbuka.

Pengendali T-Team, Rachmat Darmawan berkata, sekiranya corak permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya pada malam kelmarin dikekalkan, tidak mustahil Felda United mampu dijinakkan di kubu kuat mereka di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

“Apa-apa boleh terjadi dan kita hanya perlu fokus kepada permainan. Pemain-pemain (T-Team) telah memberi persembahan terbaik pada malam ini (kelmarin).

“Namun, oleh kerana keputusan seri 1-1, kita perlu bekerja lebih keras pada suku akhir kedua nanti,” kata Rachmat ketika ditemui selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Gol awal T-Team pada minit kedua hasil jaringan pemain tengah, Muhammad Safawi Rasid tidak memberi kelebihan kepada kelab yang mendapat jolokan The Titans itu selepas penyerang sensasi Felda United, Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Begitupun Rachmat turut melahirkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan, Khirulazuan Kidam yang bukan sahaja membatalkan jaringan penyerang import T-Team, Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-70 tanpa alasan kukuh, malah terlepas pandang beberapa kesilapan yang jelas dilakukan oleh pemain-pemain Felda United.

Menurut beliau, antaranya, sebelum menjaringkan gol penyamaan, Forkey Doe dilihat mengawal bola dengan menggunakan tangannya sebelum melepaskan tendangan padu menewaskan penjaga gol T-Team, Muhammad Ilham Amirullah.

Selain itu, Rachmat berkata, perbuatan penjaga gol Felda United, Mohd. Farizal Harun yang menampan bola di luar kotak penalti turut dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh Khirulazuan.

“Bagaimanapun, kita hormati keputusan (pe­ngadil). Ia sebahagian daripada permainan dan tidak sama sekali akan membunuh semangat anak-anak buah saya untuk terus berjuang,” katanya.

No comments:

Post a Comment