Translate

Monday, August 15, 2016

Pasar Ternakan Hidup dibuka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pasar Ternakan Hidup yang pertama di negara ini diwujudkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu di Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir dekat sini bagi membolehkan penternak memasarkan haiwan peliharaan mereka.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Mohd. Termizi Ghazali (gambar kecil) berkata, pasar ternakan itu juga mampu mempromosikan haiwan ternakan mereka secara terus kepada pelanggan pada hari Jumaat dan Sabtu setiap minggu.

“Orang ramai boleh mendapatkan haiwan ternakan lembu, kambing, ayam daging, serama dan selasih serta beberapa spesies burung secara terus dan hidup-hidup untuk pelbagai tujuan seperti ibadah korban dan aqiqah, bela serta kenduri,” katanya kepada pemberita pada hari pertama pembukaan Pasar Ternakan Hidup Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir dekat sini semalam.

Mohd. Termizi berkata, Pasar Ternakan Hidup berkenaan juga menjual produk seperti makanan haiwan, susu kambing segar, kambing bakar, aiskrim susu kambing dan ayam goreng sejuk beku yang boleh didapatkan secara terus daripada usahawan terbabit.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 20 penternak tempatan menyertai pasar berkenaan dan bilangannya dijangka meningkat dalam masa terdekat.

“Kesemua ternakan yang dipasarkan di Pasar Ternakan Hidup terbabit telah dipantau dari segi kualiti dan tahap kesihatannya oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

“Setiap haiwan ternakan dan produk hiliran yang terdapat di pasar ini boleh didapati antara harga RM2 hingga RM14,000 dan kita menyasar untuk mendapat perolehan mingguan sebanyak RM50,000,” katanya.

Mohd. Termizi berkata, sekiranya sambutan menggalakkan, pihaknya merancang untuk membuka dua lagi pasar yang mempunyai konsep sama di Kertih, Dungun dan Kuala Besut, Besut tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment