Translate

Monday, August 8, 2016

Exco nafi mahu boikot sidang DUN Terengganu hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang menafikan khabar angin kononnya enam daripada sembilan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan memboikot Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan berkata, kesemua Exco kerajaan negeri bersatu hati menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd. Rahman.

“Saya tidak tahu menahu tentang khabar angin (pemboikotan Sidang DUN) yang datang entah dari mana. Kami semua Exco (kerajaan negeri) amat sayangkan Terengganu.

“Kami tetap akan bersama Menteri Besar (Ahmad Razif) dan tidak mungkin melakukan perkara di luar jangka," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan Pidato Transformasi Terengganu Baharu Institusi Pengajian Tinggi dan Institut Pendidikan Guru di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Beliau mengulas khabar angin kononnya enam Exco kerajaan ne­geri berura-ura tidak akan menghadiri sidang DUN Terengganu sebagai protes bagi memaksa Ahmad Razif meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal secara lantang menentang kepimpinan Ahmad Razif menjelang persidangan DUN terbabit.

Selain A. Latiff, lapan Exco kerajaan negeri lain ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Datuk Mohd. Jidin Shafee, Datuk Rozi Mamat, Rosli Othman, Nawi Mohamad, Roslee Daud, Ghazali Taib dan Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

A. Latiff berkata, beliau percaya Sidang DUN negeri dipengerusikan oleh Yang diPertua DUN, Datuk Seri Zuber Embong akan berjalan dengan lancar di sebalik pelbagai provokasi yang telah dilancarkan.

Dalam perkembangan sama, beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pencetus gerakan ‘Gelombang Ku­ning’ yang cuba mengheret rakyat dan institusi diraja Terengganu dalam kemelut kepimpinan kerajaan negeri yang sedang berlaku ini.

“Saya harap rakyat negeri ini tidak dilibatkan dalam permasalahan dalaman parti. Ia sebenarnya cuma perkara kecil yang telah diperbesarkan pihak berkepenti­ngan,” katanya.

No comments:

Post a Comment