Translate

Tuesday, August 23, 2016

Pemandu bas ekspres terima padah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua pemandu bas ekspres masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM924,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengangkut rokok seludup dengan kenderaan pengangkutan awam tersebut pada 10 bulan lalu.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi memutuskan demikian terhadap Mohammad Zurie Ismail, 45, dan Razak Arnan, 53, selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendali Pegawai Pendakwa, Mohd. Redzuan Hamdan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau juga memerintahkan agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mohammad Zurie dan Razak yang diwakili peguam bela, Ahmad Nuri Ab. Rahman gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Zurie dan Razak didakwa dengan niat bersama mengangkut 3,850 karton rokok seludup berjenama Saat bernilai RM26,950 dengan bas ekspres di Plaza Tol Gemuruh, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kuala Nerus pada pukul 3.20 pagi, 21 Oktober 2015.

Mengikut fakta kes, karton rokok seludup tersebut telah disorokkan di dalam ruangan kargo dan tempat tidur pemandu di belakang bas ekspres terkenaan.

Mohammad Zurie dan Razak didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 dan 20 kali nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Rozianti turut memerintahkan agar kesemua rokok seludup tersebut dan bas ekspres berkenaan dilucut hak dan diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tujuan pelupusan.

Kosmo! 24 Oktober 2015 melaporkan Pengarah KDRM negeri, Datuk Hamzah Sundang mendedahkan taktik penyeludupan rokok haram baharu dengan menggunakan bas ekspres berikutan penahanan kedua-dua pemandu bas ekspres berkenaan.

Menurut beliau, sewaktu ditahan, bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke Kota Bahru, Kelantan menggunakan LPT2.

No comments:

Post a Comment