Translate

Monday, August 8, 2016

Bekas pemain T-Team dipenjara sehari, denda RM7,000

KUALA TERENGGANU – Bekas pemain bola sepak T-Team, Muhammad Shafiquddin Ibrahim, 25, dihukum penjara sehari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memberi keterangan palsu berhubung kes mengatur perlawanan antara T-Team, Terengganu, Pahang dan Selangor pada tahun 2014.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memutuskan demikian selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Mohamad Haldar juga memerintahkan hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya Muhammad Shafiquddin gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh yang kini merupakan seorang buruh membayar denda itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Shafiquddin bersama tiga tertuduh lain yang juga bekas pemain T-Team didakwa memberi keterangan palsu sewaktu prosiding di Mahkamah Sesyen 3 di sini pada 6 Mei 2014.

Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu itu ketika menjadi saksi perbicaraan kes mengatur perlawanan melibatkan bekas jurulatih pasukannya, Sufian Ngah dan K. Rajendran yang merupakan ahli perniagaan.

Dalam perbicaraan itu, Muhammad Shafiquddin didakwa menafikan perjumpaan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Pal Pandey yang telah memintanya agar T-Team kalah dengan Selangor dengan keputusan 2-4 apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin.

Keterangan itu bercanggah dengan kenyataan yang telah diberikan tertuduh kepada Penolong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syahriman Yahya.

No comments:

Post a Comment