Translate

Friday, August 26, 2016

Suami isteri tak serik edar ketum

SETIU – Sepasang suami isteri bagaikan tidak serik apabila ditahan buat kali ketiga dalam tempoh dua tahun kerana disyaki menjual air ketum secara haram dalam Ops Tapis di Kampung Jelapang, Sungai Tong di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, selain pasangan itu, pihaknya turut menahan dua rakan kongsinya yang berusia dalam lingkungan 40-an dalam serbuan pada pukul 1 pagi.

“Sewaktu serbuan, sebanyak 100 bungkusan air ketum dan enam guni berisi daun ketum telah dijumpai di dalam premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki berusia 51 tahun dan isterinya yang berumur 56 tahun telah dua kali ditahan sejak dua tahun lalu atas ke­salahan sama," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Elias berkata, keempat-empat suspek telah direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, polis menahan 20 penagih dadah termasuk lelaki warga Thailand berusia 20 hingga 40 tahun dalam operasi yang dilakukan selama empat hari sehingga semalam di sekitar daerah ini.

“Selain ketum, pelbagai jenis dadah seperti pil kuda dan Eramin 5 juga berjaya dirampas,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a)/12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment