KUALA TERENGGANU - Seorang murid perempuan tahun dua sebuah sekolah rendah di Dungun mendakwa cuba dicabul oleh individu tidak dikenali di dalam stor sekolahnya pada kelmarin.
Imej lelaki berusia 20-an yang disyaki pencabul kanak-kanak berusia lapan tahun itu dalam kejadian pada pukul 1.30 petang tersebut turut dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sekolah terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, sewaktu kejadian, murid terbabit sedang menunggu waktu Kelas Fardu Ain yang bermula pada pukul 2.30 petang.
"Sewaktu mangsa sedang menaiki tangga ke kelas Fardu Ain, dia tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang meminta kanak-kanak itu supaya mengekorinya ke stor sekolah.
"Suspek mendakwa kononnya mahu membantu seorang murid lain telah terkurung di dalam stor berkenaan tetapi apabila hampir sampai di lokasi, suspek didakwa telah bertindak mendukung mangsa untuk dibawa masuk ke dalam stor tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Abdul Aziz berkata, perbuatan lelaki itu telah menyebabkan murid perempuan tersebut menjerit ketakutan yang kemudiannya mendorong suspek melepaskan mangsa dan melarikan diri dengan memanjat tembok sekolah. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment