Translate

Monday, August 8, 2016

KPDNKK beri Anugerah Kedai Harga Patut kepada pasar raya besar Giant

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam memberikan pasar raya besar Giant dengan Anugerah Kedai Harga Patut.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Giant merupakan  rangkaian pasar raya besar pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan tersebut sejak anugerah itu diper­kenalkan pada tahun 2010.

“Kategori pasar raya besar baru diperkenalkan mulai tahun ini dan kita mengiktiraf kesemua cawangan Giant di seluruh negara sebagai pasar raya besar yang menjual barangan dengan harga patut.

“Ia juga sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada sektor peruncitan pasar raya besar yang turut sama membantu menawarkan harga berpatutan sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan plak dan sijil Anugerah Kedai Harga Patut kepada Pengarah Operasi Peruncitan dan Rangkaian Bekalan GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Joe Dybell di Giant Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

Hamzah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memberi anugerah sama kepada rangkaian pasar raya besar lain di negara ini sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment