Translate

Tuesday, August 30, 2016

Polis tumpas Geng Amir Kembar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Perbuatan terdesak dua beradik kembar cuba menyamun kedai emas untuk mencari duit membayar hutang ah long membawa padah apabila mereka diberkas polis di Teluk Kalong dekat sini Jumaat lalu.

Mereka berasal dari Cheras, Selangor yang dikenali sebagai Geng Amir Kembar dipercayai cuba merompak dua kedai emas di pusat komersial Sura Gate dan Kuala Dungun, Dungun masing-masing pada 20 Ogos dan Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, bagi kedua-dua percubaan menyamun terbabit, dua beradik lelaki yang mempunyai wajah seiras berusia 25 tahun itu menggunakan modus operandi sama iaitu menyamar sebagai wanita dan orang alim dengan bersenjatakan pistol tiruan.

“Begitupun, dua cubaan menya­mun kedai emas itu gagal selepas pemilik premis-premis terbabit melawan mempertahankan diri.

“Operasi khas dilancarkan selepas itu berjaya menemui beberapa suspek yang menaiki kereta Perodua Viva di hadapan Sekolah Kebangsaan Teluk Kuang di sini pada pukul 4 petang, 26 Ogos lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) Kemaman di sini semalam.

Wan Abd. Aziz berkata, ke­dua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis telah memecut laju keretanya, namun terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Gunawan, Teluk Kalong dekat sini selepas hampir enam kilometer dikejar kereta peronda polis.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam kereta Perodua Viva terbabit menjumpai barangan dan peralatan seperti kuku kambing, tukul besi, tali, jubah, tudung, purdah, kopiah, pisau, topeng muka, rambut dan janggut palsu serta pistol tiruan.

“Turut dijumpai tiga nombor plat kereta palsu dan dua MyKad tiruan yang dipercayai dibeli suspek-suspek di Thailand.

“Mereka juga mengaku membeli sepucuk pistol tiruan dengan harga RM1,200 di negara jiran tersebut,” katanya.

Wan Abd. Aziz berkata, siasatan awal mendapati dua beradik kembar tersebut baru pulang dari Australia pada 19 Ogos lalu sebelum pergi ke Pulau Pinang untuk menyewa kereta Perodua Viva terbabit bagi tujuan aktiviti jenayah itu.
Beliau berkata, mereka kemudiannya ke negara jiran untuk membeli pistol tiruan dan MyKad palsu sebelum ke Terengganu.

“Siasatan awal mendapati dua suspek tersebut baru sahaja berjinak-jinak untuk melakukan jenayah samun.

“Mereka mengaku terdesak untuk membayar hutang ah long yang jumlahnya masih dalam siasatan polis,” katanya.

Wan Abd. Aziz berkata, polis percaya dua suspek berkenaan memilih Terengganu sebagai lokasi sasaran untuk menyamun kerana negeri itu mempunyai rangkaian kedai emas yang banyak tanpa kawalan keselamatan termasuk pengawal keselamatan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari hingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

No comments:

Post a Comment